Dua didakwa dalam kes rompakan bersenjata

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Seorang lelaki dan seorang wanita tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini bagi menghadapi pertuduhan berkaitan siasatan terhadap rompakan bersenjata di sebuah kedai serbaneka di Jalan Kebangsaan, baru-baru ini.

Muhammad Alimin @ Muhammad Abid bin Karim, 24, dituduh telah merompak kedai yang dijaga oleh seorang juruwang, bersenjatakan parang dan membawa lari wang tunai antara $300 hingga $400, telefon bimbit dan kad pengenalan hijau pada pukul 5:30 petang, 15 Ogos lalu.

Nurul Siti Nabilah binti Haji Morni, 30, pula didakwa membantu melupuskan harta curi tersebut pada petang yang sama. Timbalan Pendakwa Raya Rozaimah Abdul Rahman memberitahu mahkamah bahawa polis masih belum selesai menjalankan penyiasatan sebelum pihak pendakwaan dapat meneruskan kes tersebut.

Oleh itu, Majistret Kanan Azrimah Abdul Rahman memerintahkan kedua-dua tertuduh ditahan reman sementara siasatan dijalankan dan menangguhkan kes tersebut sehingga 9 September depan.

Pertuduhan rompakan bersenjata membawa hukuman penjara antara tujuh hingga 30 tahun berserta minimum 12 kali sebatan. Manakala itu, pertuduhan bagi memberi bantuan dalam kes rompakan bersenjata pula akan dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun berserta denda.