Dua didakwa mencuri, sebabkan kerosakan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Seorang lelaki dan wanita yang berdepan tujuh pertuduhan mencuri dan menyebabkan kerosakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret.

Tidak ada pengakuan direkodkan daripada Muhammad Rasman bin Mat Noor, 35, dan Kamrinah binti Haji Kamis, 36, yang didakwa mencuri lapan Leoch 150W 12V bateri dari kawasan menara sebuah syarikat telekomunikasi di Kampung Lugu pada 3 November 2019 antara jam 6 dan 10 pagi.

Kedua-dua mereka juga didakwa mencuri lapan Shoto 100W 12V bateri dari menara sebuah syarikat telekomunikasi sama di Jalan Wasai Limuru, Perpindahan Tanah Jambu pada 28 Oktober 2019 kira-kira jam 10 pagi.

Mereka berdua juga berdepan tuduhan mencuri 15 pagar milik kerajaan dari kawasan Tangki Air, Perpindahan Tanah Jambu ‘B’ sekitar Oktober 2019.

Muhammad Rasman juga dituduh menyebabkan kerosakan pada kabinet milik syarikat telekomunikasi itu di kawasan Kampung Lugu dan di Jalan Wasai Limuru, dalam kejadian pada 3 November dan 28 Oktober 2019.

Muhammad Rasman turut didakwa menyebabkan kerosakan dengan mengalihkan pagar-pagar di kawasan Tangki Air, Perpindahan Tanah Jambu sekitar Oktober 2019. Dalam kejadian 2 Mac 2019, dia juga didakwa mencuri kabel milik syarikat telekomunikasi sama dari kawasan menara Kampung Lugu sekitar jam 8 pagi.

Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Siti Mu’ izzah binti Haji Sabli membuat permohonan untuk kes ditangguhkan bagi siasatan lanjut.

Kes akan disebut lagi pada 21 November 2019.