MIRI, 27 OKT – Seorang lagi anak kapal Dayang Topaz yang karam di 7.7 batu nautika dari Kuala Baram, Miri, Sarawak, awal pagi tadi dilaporkan meninggal dunia, menjadikan jumlah kru yang maut akibat kejadian itu dua orang, menurut laporan portal Berita Harian.
Pemangku Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Komander Maritim D. Suzanna Razali Chan, memaklumkan kedua-dua mangsa adalah warganegara Malaysia.
“Berdasarkan maklumat terkini oleh Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat (MRCC) Putrajaya, kedua-dua mangsa diterbangkan ke Lapangan Terbang Miri menggunakan pesawat AW 189 PETRONAS dan selamat mendarat jam 5:40 petang tadi.
”Sebaik tiba di Lapangan Terbang Miri, mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke hospital oleh pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, katanya seramai 173 orang daripada 185 kru kapal Dayang Topaz, selamat tiba di Pelabuhan Miri pada jam 2:30 petang dan diberi rawatan awal oleh pasukan perubatan, demikian menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Agensi itu berkata kapal tersebut, yang hampir karam sebelum kapten dan anak kapal berjaya mengawal keadaan di tengah-tengah keadaan cuaca buruk dan ombak tinggi itu, kini berlabuh kira-kira empat batu nautika dari Kuala Sungai Miri.
Dalam kejadian itu, terdapat 187 anak kapal berada dalam kapal berkenaan sebelum 126 daripada mereka terjun ke laut bagi menyelamatkan diri.
Menurut kenyataan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pusat Koordinasi Menyelamat Maritim (MRCC) Putrajaya memaklumkan bahawa semua mangsa dibawa oleh kapal-kapal yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat, kecuali dua mangsa cedera dalam insiden kira-kira 6:45 pagi tadi itu.
“Dua mangsa mengalami kecederaan dan telah dipindahkan dari Platform Naga 2 untuk dibawa ke Pangkalan Udara Miri oleh helikopter milik Petronas bagi rawatan lanjut di Hospital Miri,” menurut kenyataan itu.
Berdasarkan siasatan awal, mangsa yang terlibat merangkumi 185 kru warganegara Malaysia dan dua kru warganegara Indonesia iaitu kapten kapal dan ‘Chief Officer’ berusia antara 21 hingga 63 tahun.
Kapal MV Dayang Topaz yang disewa oleh pihak Petronas Carigali dilaporkan mengalami kerosakan ketika kejadian, akan diiring balik ke Pelabuhan Miri.
Sementara itu, Jabatan Laut dalam satu kenyataan berasingan memaklumkan kemalangan marin itu berlaku di Latitud 04º 40.00’N dan Longitud 13º 51.00 E’ lebih kurang 7.7 batu nautika (kira-kira 14.3km) dari Kuala Baram, Miri.
Kru kapal MV Dayang Topaz iaitu kapal jenis ‘Accommodation Work Barge’ milik DESB Marine Services Sdn Bhd telah menghantar isyarat kecemasan ke kapal Sapura Constructor yang memulakan gerakan bantuan awal.
Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan oleh Agensi Penguatkuasaan dengan bantuan kapal-kapal di bawah seliaan SKO Petronas Carigali Sarawak Operations.
Berdasarkan maklumat awal, insiden berlaku dalam keadaan cuaca buruk yang menyebabkan kabel sauh kapal Dayang Topaz terputus mengakibatkan kapal tersebut tidak dapat dikawal dan melanggar platform Minyak Baram B.
“Kesan kerosakan akibat perlanggaran ini belum dipastikan lagi. Bagaimanapun tiada sebarang kejadian pencemaran marin dikesan,” menurut kenyataan. – Bernama/Agensi