Dua dipenjara sebulan keluar rumah semasa dikuarantin

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Seorang lelaki dan seorang wanita dijatuhkan hukuman penjara sebulan hari ini selepas mengaku bersalah keluar rumah ketika menjalani Perintah Kuarantin.

Majistret Kanan Azrimah Abdul Rahman menjatuhkan hukuman itu ke atas Adi Hasmin anak Garunchin dan Bahjah binti Haji Ibrahim yang masing-masingnya dihukum penjara sebulan selepas didapati meninggalkan kediaman mereka oleh sukarelawan yang menghantar catuan makanan.

Majistret kanan bersetuju dengan hujah dikemukakan oleh Pendakwa Raya Atiyyah Abas bahawa adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk menjaga keselamatan negara, peraturan kesihatan disediakan untuk mengurangkan risiko jangkitan dan hukuman berat diberikan sekiranya pelanggaran arahan dilakukan.

Pihak pendakwaan mendedahkan bahawa Pasukan Polis Diraja Brunei menerima maklumat mengenai Adi Hasmin, yang diperintahkan menjalani kuarantin selama dua minggu, telah meninggalkan tempat kediamannya pada 12 Ogos.

Sekumpulan sukarelawan yang menghantar makanan ke kediamannya mendapati dia tiada di rumah semasa penghantaran tersebut. Setelah dihubungi di telefon bimbitnya, Adi Hasmin menjawab bahawa dia baru pulang dari kedai serbaneka dan kenderaannya berada di belakang kenderaan mereka.

Siasatan polis menunjukkan bahawa Adi Hasmin memandu ke sebuah kedai serbaneka atas arahan Bahjah yang dibawa bersama di tempat duduk penumpang meskipun Bahjah mengetahui bahawa Adi Hasmin berada di bawah Perintah Kuarantin.