Dua disengat obor-obor

LABUAN, 7 MAC – Dua remaja lelaki telah dimasukkan ke hospital selepas dipercayai disengat obor-obor kotak semasa berenang di pantai Sungai Miri yang popular pada pagi Sabtu.

Kedua-dua mangsa sedang berkelah bersama keluarga di pantai sebelum insiden itu berlaku pada 11 pagi dan segera dikejarkan ke Hospital Labuan untuk rawatan serta dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Pengarah Jabatan Perikanan Labuan, Faizal Ibrahim Suhaili berkata sepasukan anggota daripada Cawangan Perlindungan Sumber telah dihantar ke lokasi kejadian untuk melakukan pemantauan dan mengambil sampel.

“Kami telah menerima laporan mengenai insiden remaja disengat obor-obor… dan pasukan kami kini berada di kawasan pantai terbabit untuk menentukan spesies plankton itu.

“Kami berharap obor-obor yang menyerang kedua-dua remaja bukan daripada spesies Portuguese man o’ war yang terkenal kerana sengatan berbisanya, oleh itu, kami menasihati pengunjung pantai agar mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak mengambil risiko apabila terlihat obor-obor itu di dalam air,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Profesor Madya Dr B A Venmathi Maran daripada Institut Penyelidikan Marin Borneo, Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata ia mungkin obor-obor kotak kerana di perairan Sabah, hanya satu spesies yang dikesan iaitu Chironex yamaguchii, tetapi maklumat mengenai obor-obor kotak yang diterima dari Labuan itu adalah yang pertama setakat ini. – Bernama