Dua disyaki kaki judi loteri ditahan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Seorang lelaki dan seorang perempuan telah ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan perjudian loteri empat digit (4D) di Kampung Sengkarai Tutong.

Suspek lelaki berusia 52 tahun, Soon Kian Eng merupakan warga tempatan yang berniaga sendiri manakala itu, suspek perempuan berusia 46 tahun, Yek Siew Ling pula merupakan penduduk tetap yang bekerja sendiri.

Kedua-dua suspek telah diberkas oleh keanggotaan Special Duties Balai Polis Tutong. Turut dirampas semasa serbuan itu ialah sejumlah wang tunai, kertas nombor dan slip pertaruhan.

Suspek bersama barang rampasan dibawa ke Balai Polis Tutong untuk dijalankan siasatan lanjut.

Suspek akan berdepan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 4 (C) Akta Rumah Judi Terbuka Penggal 28.

Pasukan Polis Diraja Brunei mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih atas maklumat berhubung kegiatan tersebut dan menyarankan orang ramai untuk berkongsi maklumat apa sahaja kegiatan yang mencurigakan kepada pihak polis atau ke talian kecemasan 993.

ATAS & BAWAH: Dua orang suspek judi loteri 4D yang ditahan di Kampung Sengkarai.