Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Dua ditahan, 601 sayap ayam mentah dirampas

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan Jabatan Hal Ehwal Syariah, KHEU

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Sebanyak 601 kilogram sayap ayam mentah tanpa kebenaran Permit Import Halal telah berjaya dirampas oleh pegawai-pegawai penguat kuasa Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah bersama Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) di kawasan Kampung Manggis dalam operasi yang dijalankan, kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Syariah, di sini, operasi bersepadu itu dijalankan bermula pukul 5:30 pagi telah berjaya menahan dua orang suspek lelaki tempatan.

    Suspek-suspek yang menggunakan kereta jenis salon telah diekori bermula dari Daerah Temburong menuju ke Daerah Brunei dan Muara melalui Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien dan akhirnya ditahan di kawasan Kampung Manggis.

    Kesemua sayap mentah yang memenuhi ruang tempat kaki dan bonet kenderaan berkenaan dirampas dan kes itu disiasat oleh JKED untuk tindakan lanjut.

    Jabatan itu mengingatkan bahawa setiap kemasukan daging halal ke negara ini hendaklah mempunyai kebenaran Permit Import Halal yang sah dengan mengikuti proses-proses yang ditetapkan.

    Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah bersama-sama agensi penguatkuasaan lain akan sentiasa meningkatkan rondaan dan operasi bagi memastikan undang-undang dan peraturan-peraturan di negara ini sentiasa dipatuhi.

    Di samping itu, Jabatan Hal Ehwal Syariah mengucapkan penghargaan kepada orang ramai atas kerjasama yang diberikan melalui perkongsian-perkongsian maklumat yang disalurkan bertujuan untuk membanteras kegiatan penyeludupan daging mentah.

    Sebarang maklumat mengenai kegiatan penyeludupan daging bolehlah dilaporkan ke Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah melalui talian hotline 7166222 atau mana-mana pejabat Bahagian Kawalan Makanan Halal di setiap daerah.

    Sayap ayam mentah beku dirampas daripada suspek yang ditahan di kawasan Kampung Manggis.
    Kotak-kotak berisi sayap ayam mentah tanpa permit kelihatan di dalam bonet kereta suspek yang ditahan di Kampung Manggis.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...