Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Dua ditahan bawa ayam, minuman keras tidak diisytihar

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar serahan PPDB

    TEMBURONG, 2 OGOS – Dua suspek ditahan manakala barang tegahan berupa minuman keras dan ayam mentah turut dirampas semasa pemantauan pencegahan jenayah yang dijalankan oleh anggota detektif Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di kawasan Pekan Bangar, di sini, kelmarin.

    Semasa pemantauan dijalankan, pihak polis telah mengenal pasti sebuah kenderaan yang dipercayai mencurigakan di kawasan Bangar.

    Pemandu kenderaan tersebut dikerah untuk berhenti bagi pemeriksaan bagaimanapun ingkar dan memecut melarikan diri.

    Pihak polis kemudian mengejar kenderaan suspek lalu berjaya menahan kenderaan berserta pemandu dan penumpangnya di kawasan berdekatan Bangunan Brunei Bridge Authority, Temburong.

    Semasa menahan kenderaan tersebut, pihak polis menjalankan pemeriksaan pengenalan diri dan kenderaan serta telah mendapati sejumlah bungkusan kotak mencurigakan tersimpan di bahagian ruangan penumpang belakang dan bahagian bonet kenderaan.

    Pihak polis kemudian menahan pemandu seorang lelaki tempatan berumur 38 tahun manakala penumpang wanita tempatan berusia 34 tahun bersama barang mencurigakan dan dibawa ke Balai Polis Bangar bagi siasatan awal.

    Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 60 botol dan 192 tin minuman keras pelbagai jenama serta dua bungkusan kotak besar berisi daging ayam mentah yang tidak diisytiharkan.

    Kes siasatan suspek dan barang rampasan diserahkan ke Bahagian Penguatkuasaan Ugama (BPU) Temburong atas kesalahan di bawah bab 104 pemilikan minuman yang memabukkan dan bagi siasatan selanjutnya.

    Kotak berisi ayam mentah dan minuman keras yang ditemui dalam kenderaan suspek.
    Antara barang tegahan yang ditemui dalam kenderaan yang ditahan di kawasan berdekatan Bangunan Brunei Bridge Authority, Daerah Temburong pada Isnin lalu.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...