Wednesday, April 24, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    Dua ditahan miliki empat laras senjata api

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar serahan PPBD

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Dua individu telah ditahan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) kerana didapati memiliki empat laras senjata dipercayai senjata api buatan sendiri dan satu laras senjata yang belum siap.

    Penahanan itu dibuat semasa operasi sepadu yang dijalankan PPDB dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain di beberapa lokasi di Daerah Brunei dan Muara, kelmarin.

    Operasi melibatkan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN), Jabatan Buruh (LED) serta Jabatan Daerah Brunei dan Muara (JDBM) dengan tumpuan utama operasi di sekitar Kampung Burong Pingai Ayer dan Kampung Sungai Asam bagi operasi pencegahan jenayah manakala operasi sekatan lalu lintas turut dikendalikan di kawasan persimpangan 4 Jalan Kasat dan Jalan Lumapas.

    Menurut kenyataan PPDB, dalam operasi itu, pihak BKN telah menahan tiga orang kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

    Sementara itu, semasa operasi sekatan lalu lintas, BKN juga menahan seorang individu kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan JIPK menahan 14 orang lelaki warganegara asing atas kesalahan gagal menunjukkan dokumen pasport asal, dipercayai pekerja syarikat yang bermasalah serta tersenarai dalam pekerja lari daripada majikan.

    PPDB menyatakan, kesemua tahanan dan barang rampasan dibawa ke jabatan masing-masing bagi tindakan lanjut.

    Kenyataan menegaskan bahawa agensi-agensi penguatkuasaan akan sentiasa teguh terhadap penekanan undang-undang di negara ini dalam matlamat utama iaitu bersama membendung, mengesan serta membanteras kegiatan-kegiatan yang cuba untuk meruntuhkan akhlak serta kesejahteraan mahupun keamanan di negara ini.

    PPDB serta agensi penguatkuasaan yang lain juga menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan memberikan kerjasama yang jitu dalam perkongsian maklumat bagi mengelakkan sebarang kejadian-kejadian yang tidak diingini berleluasa tanpa sebarang pembendungan dan tindakan sewajarnya.

    Antara senjata api yang telah dirampas oleh pihak polis semasa operasi di Daerah Brunei dan Muara.
    Pegawai penguat kuasa semasa menjalankan operasi di sekitar Kampung Burong Pingai Ayer baru-baru ini.
    Operasi sekatan lalu lintas yang dikendalikan di kawasan persimpangan 4 Jalan Kasat dan Jalan Lumapas.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...