HONG KONG, 26 OKT – Pihak berkuasa Hong Kong telah menahan dua lelaki yang melakukan pengubahan wang haram bernilai AS$446 juta (HK$3.5 bilion) dengan menjual semula logam berharga, dalam kes pengubahan wang terbesar di bandar itu.
Kedua-dua suspek itu terlibat dalam skim penjualan logam berharga seberat lapan tan, kebanyakannya emas dan paladium, antara 2020 dan 2021 dengan pulangan yang tidak setara berbanding latar belakang mereka, kata pegawai kastam, Rita Li semasa sidang media.
Ia adalah kes penggubahan wang haram pecah rekod yang pernah dicatatkan oleh Kastam Hong Kong, namun polis bandar itu pernah menumpaskan kes yang membabitkan nilai lebih besar.
Menurut Li, logam berharga itu boleh dibeli dan dijual tanpa perlu mendedahkan identiti pembeli dan penjual di Hong Kong, sekali gus menarik minat penjenayah kerana ia bernilai tinggi, bersaiz kecil dan mudah dipindahkan.
“Elemen-elemen yang melanggar undang-undang dengan mudah boleh menggunakan hasil jenayah untuk membeli logam berharga ini dan kemudian menjualnya semula, atau menjalankan transaksi pelbagai lapisan untuk mengubah wang,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.
Menurut pihak berkuasa Hong Kong, kedua-dua lelaki itu menggunakan akaun syarikat untuk menerima transaksi dengan jumlah besar daripada perniagaan logam dan kedai barang kemas, sebelum memindahkan wang itu ke syarikat atau akaun palsu di luar negara.
Suspek yang dipercayai ada kaitan dengan jenayah sindiket, ditahan Jumaat lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu proses siasatan berjalan. – AFP