Tuesday, March 18, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua ekor kucing mati selepas minum susu mentah

    CALIFORNIA, 13 JAN – Seorang lelaki California yang kehilangan dua ekor kucing selepas minum susu mentah yang ditarik balik kerana risiko selesema burung berkata dia hanya berniat untuk menjaga kesihatan haiwan kesayangannya, tetapi usahanya itu malangnya membawa akibat tragis.

    “Ia amat menyedihkan apabila awda sedar bahawa awdalah yang memberikan susu yang menyebabkan kematian kucing kesayangan,” kata Joseph Journell, 56 tahun, dari San Bernardino.

    Journell kehilangan kucing berbulu jingga berusia 14 tahun, Alexander, dan Tuxsie, seekor kucing tuxedo berusia 4 tahun, pada akhir November. Seekor lagi kucingnya, Big Boy yang juga berusia 4 tahun, telah dirawat di hospital selama seminggu sebelum ujian menunjukkan haiwan itu dijangkiti virus selesema burung H5N1.

    Kucing-kucing tersebut meminum susu tidak dipasteur dari lot yang telah ditarik balik oleh Raw Farm, Fresno.

    Produk tenusu syarikat itu dikeluarkan daripada rak kedai di California pada Disember selepas pegawai kesihatan menemui virus tersebut dalam susu yang dijual, kata pemiliknya. Kematian haiwan itu disahkan oleh pegawai kesihatan negeri dan daerah.

    Kucing-kucing tersebut dipelihara di dalam rumah, tanpa akses kepada burung yang mungkin dijangkiti, dan hanya diberi makanan haiwan konvensional, bukan makanan mentah, jelas pemiliknya.

    Journell berkata dia sendiri telah meminum susu Raw Farm selama beberapa bulan kerana mendengar susu tersebut mempunyai sifat meningkatkan imuniti dan penyembuhan lebih baik berbanding susu pasteur. Dia menyangka susu itu mungkin dapat membantu Alexander, yang mengalami penurunan berat badan.

    “Saya hanya cuba menjadikannya lebih sihat dan hidup lebih lama, namun sebaliknya yang terjadi,” kata Journell. – AP

    Gambar fail yang disediakan oleh Joseph Journell ini menunjukkan dua ekor kucingnya minum susu lembu mentah pada November 2024. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda