Dua gadis guna konsep ‘COD’ jual durian

Oleh Noor Aznida Alias

KUALA TERENGGANU – Bijak dan Kreatif! Itu gambaran yang boleh diberikan kepada dua gadis dari Kuala Nerus yang mencipta kelainan dengan menjalankan perniagaan durian secara ‘cash on delivery’ (COD) atau bayar selepas terima.

Berpegang kepada prinsip tiada istilah malu dalam berniaga, Zainur Saffi, 32, dan sepupunya, Nurul Atiqah Mohd Adil, 25, menangkis perasaan malu yang menebal dalam diri lebih-lebih lagi apabila perniagaan yang dijalankan mendapat sambutan di luar jangkaan.

Zainur berkata idea untuk berniaga durian secara COD timbul selepas mendapati konsep jualan itu sentiasa mendapat sambutan masyarakat disebabkan kesibukan urusan seharian mereka.

Mendapat sambutan

Zainur berkata beliau tidak menyangka perniagaan durian yang diusahakannya melalui laman sosial Facebook mendapat sambutan menggalakkan iaitu antara 70 hingga 80 tempahan sehari.

Setiap hari beliau dan Nur Atiqah keluar rumah sekitar pukul 10 pagi untuk menghantar tempahan dan pulang ke rumah kira-kira pukul 8 malam.

Walaupun penat, pendapatan bersih yang diterima agak lumayan iaitu sekitar RM500 sehari menyebabkan dua gadis bujang ini semakin bersemangat untuk meneruskan perniagaan itu sehingga musim durian berakhir.

Selain itu bagi memastikan kepuasan pelanggan, Zainur berkata buah yang rosak boleh ditukar semula tanpa ada caj penghantaran tambahan walaupun hanya sebiji.

Namun begitu menurutnya, sepanjang dua bulan berniaga, tidak banyak aduan diterima dan rata-rata pelanggan berpuas hati dengan kualiti durian kampung yang dijual walaupun saiznya agak kecil. – Bernama

Peniaga durian secara ‘cash on delivery’ (COD) (bayar waktu terima), Zainur Saffi, (kanan) dan sepupunya Nurul Atiqah Mohamad Adil, (kiri) membantu pelanggannya Zuliana Walek, memilih buah durian ketika ditemui baru-baru ini. – Bernama