COLOMBO, 21 Okt – Dua ekor gajah mati dan yang lain mengalami kecederaan kritikal dalam kejadian yang berlaku hari ini apabila ia merentasi landasan kereta api di Sri Lanka, menurut pihak berkuasa, satu lagi kejadian perlanggaran melibatkan binatang-binatang yang dilindungi dan kereta api.
Kereta api sebelah malam merempuh dua ekor gajah di Ambanpola, 150 kilometer daripada utara Colombo dan membunuh seekor gajah dan mencederakan yang lain.
Dalam kemalangan berasingan, sebuah kereta api penumpang tergelincir dan melanggar lalu membunuh seekor gajah berhampiran Palugaswewa, 160 kilometer, timur laut Colombo.
Tidak ada penumpang yang dilaporkan cedera dalam kedua-dua kejadian.
“Perkhidmatan kereta api tergendala tetapi kami sedang berusaha mengeluarkan bangkai dan membaiki landasan di bahagian timur.
Sekatan kelajuan telah dikenakan ke atas kereta-kereta api yang melalui kawasan habitat gajah tetapi ia sukar untuk dikuatkuasakan.
Hanya 10 peratus kereta-kereta api di Sri Lanka yang dipercayai dilengkapi dengan meter laju, menurut laporan media tempatan hari ini.
Dua minggu lalu, sebuah kereta api penumpang melanggar dan membunuh tiga ekor gajah. Beberapa minggu sebelum itu, ibu gajah dan dua anaknya dilanggar dan mati dalam kejadian yang berlaku di timur negara itu.
Sri Lanka menyifatkan gajah sebagai warisan negara dan mereka dilindungi oleh undang-undang. Tetapi konflik antara penduduk dan gajah berhampiran kawasan hidupan liar tetap menjadi masalah.
Menurut jumlah rasmi, sejumlah 1,200 ekor gajah telah dibunuh oleh manusia dalam tempoh lima tahun kebelakangan, dengan 375 orang dipijak hingga mati oleh binatang tersebut. – AFP