Dua gol Mina bantu Valencia

VALENCIA, Sepanyol, 8 Nov – Valencia mengekalkan tekanan ke atas Manchester United dalam saingan Kumpulan H, Liga Juara-Juara dengan menewaskan Young Boys 3-1 awal pagi tadi ketika pasukan dari Sepanyol itu mencatatkan kemenangan pertama di laman sendiri pada musim ini.

Pemain muda Carlos Soler, 21, melakukan umpanan bagi dua jaringan Santi Mina pada separuh masa pertama sebelum menjaringkan gol bagi melengkapkan kemenangan bagi pasukan tersebut yang terjejas dengan keputusan seri setakat ini.

Young Boys menyamakan kedudukan apabila Roger Assale meluru masuk bola ke sisi sudut gawang, namun jaringan penyamaan itu hanya bertahan lima minit, ketika Mina mengembalikan pendahuluan Valencia pada minit akhir separuh masa pertama.

Sebarang harapan menerusi kebangkitan kelab dari Switzerland itu terjejas apabila Sekou Sanogo diarah meninggalkan padang akibat mengasari Francis Coquelin ketika perlawanan hanya berbaki 13 minit.

Ia adalah kemuncak persaingan yang menyaksikan lima kad kuning dilayangkan pada separuh masa pertama sahaja, menjadi rekod bagi perlawanan tahun ini.

Bagi Valencia, kejayaan itu adalah penting terhadap harapan mereka untuk mara ke peringkat kalah mati ketika mereka ketinggalan dua mata di belakang United, yang menewaskan Juventus 1-2 di Turin.

Valencia seterusnya menunggu kunjungan United tetapi mereka memiliki kelebihan apabila menjadi tuan rumah kepada pasukan kendalian Jose Mourinho di Mestalla dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

“Kami mahu menghidupkan peluang kami untuk mara ke peringkat seterusnya dalam saingan ini dan untuk itu kami perlu menang,” kata pengurus Valencia, Marcelino.

Selepas mengakhiri musim La Liga lepas di tangga keempat, kemenangan dan jaringan susah diperoleh pada musim ini buat Valencia.

Mereka menduduki tangga ke-15 liga, dengan lapan daripada 11 perlawanan berakhir dengan keputusan seri, sementara di Eropah mereka hanya beroleh satu gol daripada 42 cubaan sebelum perlawanan ini. – AFP

Mina berjaya mencetak dua gol buat Valencia ketika perlawanan menentang Young Boys di Stadium Mestalla, di Valencia. – AFP