BERLIN, 14 FEB – Marco Reus tidak menghirau ejekan penyokong pasukan tuan rumah dengan dua gol menentang Union Berlin kelmarin, ketika Borussia Dortmund melakar kemenangan 3-0 untuk merapatkan jurang di puncak Bundesliga kepada enam mata.
Reus, yang memenangi sepakan penalti kontroversi ketika kedua-dua pasukan bertemu musim lalu, diberikan sambutan dingin di ibu negara.
Dia membungkam pasukan tuan rumah dengan dua gol pada separuh masa pertama ketika Dortmund bangkit daripada kekalahan minggu lalu kepada Leverkusen untuk meraih kemenangan pertama mereka di gelanggang lawan di Union.
“Minggu lepas memang teruk dan kami mahu menunjukkan reaksi hari ini. Sukar untuk datang ke sini kerana Union adalah pasukan yang sangat bagus,” kata Reus kepada DAZN.
Dia menepis soalan mengenai usaha pemburuan gelaran.
“Kami tidak perlu untuk menjawab soalan-soalan itu, jadi sila berhenti bertanya,” katanya.
Rakan sepasukan, Mats Hummels sama-sama tidak mahu bercakap tentang peluang pasukannya untuk mengejar pendahulu Bayern, sebaliknya menunjukkan fakta bahawa Dortmund kini mempunyai 12 mata dalam pemburuan untuk Liga Juara-Juara.
“Saya gembira kerana kami telah membuka pendahuluan besar di tempat kelima,” katanya.
Selepas pendahulu Bayern tewas mengejut di tangan Bochum Sabtu lalu, pertembungan di ibu negara itu mesti dimenangi oleh Dortmund di tempat kedua.
Dortmund membuat permulaan yang mencemaskan, tetapi mendahului pada minit ke-18, apabila Reus melakukan rembatan rendah dari jarak dekat di tengah-tengah kekacauan di dalam kotak penalti. – AFP