Thursday, December 7, 2023
23.5 C
Brunei

    -

    Dua hospital di bandar Xi’an diarah tutup

    BEIJING, 13 JAN – Dua buah hospital di bandar Xi’an, China yang sedang dikuatkuasakan perintah berkurung, termasuk salah sebuah yang enggan merawat wanita mengandung lapan bulan yang kemudiannya mengalami keguguran, telah ditutup, sementara mereka ‘membetulkan’ kesilapan, kata pihak berkuasa hari ini.

    Bandar bersejarah itu adalah antara beberapa kawasan di China yang sedang merekodkan jangkitan COVID-19, dikenakan perintah berkurung ketat selama tiga minggu selari strategi ‘sifar-COVID-19’ Beijing.

    Susulan insiden minggu lalu itu, pegawai kesihatan tertinggi diarahkan untuk memohon maaf selepas tular dalam media sosial gambar dan video menyedihkan berkaitan wanita yang dilihat duduk di atas bangku plastik di luar Hospital Gaoxin dalam keadaan berlumuran darah, hingga mencetuskan kemarahan berhubung pelaksanaan teruk peraturan bandar mega itu.

    Dalam kejadian berasingan di hospital kedua, seorang penduduk Xi’an berkata bapanya meninggal dunia pada minggu lalu selepas gagal mendapatkan rawatan perubatan untuk penyakit jantung kerana ‘peraturan berkaitan pandemik’.

    Kedua-dua hospital itu diberi amaran dan ‘digantung operasi selama tiga bulan supaya dapat membetulkan keadaan’, dan hanya akan dibenarkan dibuka semula selepas mendapat kelulusan.

    Sementara itu, Suruhanjaya Kesihatan Xi’an dalam satu kenyataan hari ini, berkata kedua-dua hospital itu ‘gagal melaksanakan tugas untuk menyelamatkan nyawa dan mereka yang cedera’.

    “Ini menyebabkan kelewatan dalam tugas menyelamat, memberi diagnosis dan rawatan kepada pesakit kritikal hingga ia menimbulkan perhatian umum sekali gus mengakibatkan kesan sosial yang buruk,” tambah pihak berkuasa tempatan. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Kapsul bawa haiwan dilancar ke orbit

    TEHRAN, 6 DIS – Iran mengumumkan hari ini mereka telah menghantar sebuah roket berbentuk kapsul ke orbit yang membawa binatang sebagai persediaan bagi misi...