Dua juta ibu tunggal, anak yatim di Afghanistan tunggu bantuan kemanusiaan

KABUL, 19 NOV – Dianggarkan kira-kira dua juta ibu tunggal selain 1.5 juta anak yatim di Afghanistan sedang menantikan bantuan kemanusiaan antarabangsa. 

Menteri Syuhadah dan Orang Kurang Upaya Afghanistan Abdul Majeed Akhund berkata pendudukan tentera asing dan peperangan di negara itu menyebabkan ramai wanita menjadi ibu tunggal akibat kematian suami, selain menjadi cacat akibat letupan bom atau ditembak. 

“Ramai rakyat Afghanistan menjadi buta, hilang kaki dan hilang upaya tubuh akibat serangan dilakukan tentera luar dan jumlah itu sukar dihitung. 

“Ketika ini hanya 150,000 penduduk Afghanistan yang cacat akibat kesan peperangan telah mendaftar dengan kementerian ini,” katanya kepada Bernama melalui penterjemah bahasa.

Abdul Majeed berkata angkanya mungkin lebih ramai terutama mereka yang menetap di kawasan pedalaman.

Menurut beliau, Afghanistan yang memiliki hospital di kesemua 34 wilayah di negara itu berdepan masalah dana, ubat-ubatan, alatan surgeri dan pakar membuat anggota tubuh palsu (prostesis). 

Beliau turut menyatakan harapan supaya negara luar dapat memahami situasi sukar dihadapi Afghanistan kini. “Sebarang bentuk bantuan dan sokongan amat dialu-alukan,” katanya.

Afghanistan terus bergolak apabila tentera Taliban menumbangkan kerajaan Mohammad Ashraf Gani pada pertengahan Ogos lepas, susulan pengunduran tentera Amerika Syarikat dari negara itu selepas 20 tahun mendudukinya.

Pada Khamis, media antarabangsa melaporkan sekurang-kurangnya empat orang awam terbunuh manakala dua lagi cedera dalam dua letupan bom yang berlaku di barat Kabul.

Sementara itu, menurut sumber, kerajaan baharu Afghanistan sedang mengusahakan tunggakan bayaran gaji dua bulan bagi kesemua kakitangan kerajaan. 

Bagaimanapun, jumlah kakitangan yang terlibat di bawah kira-kira 25 kementerian di Afghanistan tidak diketahui.

Penulis, seorang daripada 14 peserta yang menyertai misi bantuan kemanusiaan Pertubuhan Muslim Care Malaysia (MCM) ke Afghanistan, merupakan antara petugas media tempatan pertama menjejakkan kaki ke negara itu selepas diambil alih kerajaan interim Taliban. – Bernama