SYLHET, 17 JUN – Bangladesh mengerahkan tenteranya untuk membantu dua juta penduduk yang terkandas disebabkan banjir selepas hujan monsun tanpa henti yang membanjiri sebahagian besar kawasan buat kali kedua dalam masa beberapa minggu, menurut pegawai hari ini.
Banjir adalah ancaman biasa bagi jutaan penduduk di kawasan rendah Bangladesh, tetapi pakar berkata perubahan iklim telah meningkatkan kekerapan, keadaan keterlaluan dan ketidakpastian yang sukar diramal.
Pihak berkuasa mengantungkan serta-merta peperiksaan sekolah tinggi di seluruh negara, dengan ratusan kelas kini digunakan sebagai tempat perlindungan sementara bagi mangsa yang rumah mereka ditenggelami banjir.
“Keadaan sangat membimbangkan. Lebih dua juta orang kini terjejas akibat banjir,” kata ketua pentadbiran serantau, Mohammad Mosharraf Hossain kepada AFP.
“Para penduduk yang terkesan oleh banjir berlindung di atas bot. Kami mengerahkan tentera dan cuba memindahkan mereka.”
Hossain berkata pihak berkuasa telah menghantar tentera ke kawasan pedalaman yang terjejas oleh banjir, dengan anggota tentera pergi dari rumah ke rumah untuk memberikan bantuan dan menyelamatkan penduduk dari banjir.
Hujan lebat yang bermula minggu lalu di Bangladesh dan sebahagian negara jiran India hingga mengalir ke sungai yang memecahkan tebingnya, kata Arifuzzaman Bhuiyan, pegawai dari Pusat Ramalan dan Amaran Banjir.
Dia menambah bahawa Sungai Surma, laluan air terbesar wilayah Sylhet, berada satu meter lebih tinggi daripada kebiasaannya.
“Ini merupakan salah satu kejadian banjir terburuk dalam sejarah wilayah ini. Keadaan akan bertambah buruk dalam masa tiga hari akan datang,” katanya.
Kejadian banjir terburuk dalam masa dua dekad melanda Sylhet penghujung bulan lalu, dengan sekurang-kurangnya 10 orang terkorban dan empat juta lainnya terjejas. – AFP