MADRID, 28 Okt – Dua kanak-kanak berusia tujuh tahun telah meninggal dunia di Mediterranean tatkala beratus penghijrah berusaha tiba di Sepanyol dari Maghribi, menurut NGO Sepanyol semalam.
Sementara itu, 16 penghijrah Maghribi dilaporkan hilang selepas sebuah bot tenggelam di luar pantai utara Maghribi.
Menurut Pertubuhan Penghijrahan Antarabangsa (IOM), 42,500 penghijrah telah tiba menerusi laut di Sepanyol sejak awal tahun dan 433 orang lagi telah terbunuh semasa dalam perjalanan, selalunya menaiki kapal yang penuh sesak dan tidak layak untuk memulakan pelayaran.
Jumlah kematian telahpun tiga kali lebih tinggi daripada angka untuk sepanjang tahun 2017.
Perkhidmatan menyelamat laut Sepanyol berkata di Twitter bahawa 53 orang telahpun diselamatkan di perairan di antara Sepanyol dan utara Afrika apabila bot penghijrah memulakan pelayaran.
Bagaimanapun, dua mayat turut ditemui.
Caminando Fronteras NGO, yang membantu penghijrah, berkata mayat yang ditemui adalah dua kanak-kanak berusia tujuh tahun.
Semakin ramai warga Maghribi dan penghijrah Sahara berusaha memasuki Sepanyol, sama ada menerusi laut atau dengan menyeludup diri mereka ke enklaf Sepanyol di Ceuta dan Melilla, yang terletak di Maghribi dan merupakan satu-satunya wilayah Eropah di Afrika. – AFP