Dua kapal Rusia tiba di Filipina

MANILA, 3 Jan – Tentera Laut Rusia berkata hari ini ia merancang untuk mengadakan latihan perang bersama Filipina, ketika dua kapalnya membuat perhentian luar biasa di Manila susulan pertukaran paksi Presiden Filipina, Rodrigo Duterte dari Amerika Syarikat (AS).

Laksamana Muda Eduard Mikhailov, timbalan komander bagi armada Pasifik Tentera Laut Rusia, berkata latihan tentera bersama itu akan memfokuskan pengganasan dan kegiatan lanun maritim, yang digambarkannya sebagai dua kebimbangan utama rantau itu.

“Kami sangat pasti yang pada masa depan kami akan mendapat latihan seumpamanya bersama anda, mungkin hanya latihan ketenteraan atau mungkin menggunakan beberapa sistem perang dan sebagainya,” Mikhailov memberitahu para wartawan di sebelah kapal pemusnah Rusia yang sedang berlabuh, Admiral Tributs.

Eduard Mikhailov (tengah) bercakap semasa taklimat media bersama para pegawai Tentera Laut Filipina berikutan ketibaan kapal antikapal selam Admiral Tributs ke Manila pada 3 Januari. – AFP
Eduard Mikhailov (tengah) bercakap semasa taklimat media bersama para pegawai Tentera Laut Filipina berikutan ketibaan kapal antikapal selam Admiral Tributs ke Manila pada 3 Januari. – AFP

Mikhailov juga menimbulkan prospek latihan bersama dengan China dan Malaysia di Laut China Selatan, di mana persaingan tuntutan wilayah telah menjadi sumber besar ketegangan dan potensi konflik selama berdekad-dekad.

“Kami sangat berharap dalam masa beberapa tahun, latihan ketenteraan contohnya di rantau anda, di Laut China Selatan, akan melibatkan contohnya, bukan saja Rusia-Filipina, namun Rusia, Filipina, China dan mungkin bersama Malaysia.”

Kunjungan itu merupakan yang ketiga kalinya dari kapal tentera Rusia ke Filipina, menurut Laksamana Pertama Tentera Laut Filipina, Francisco Cabudao, yang mengetuai majlis menyambut kedatangan kapal-kapal Rusia itu. – AFP