Dua keluarga tinggal dalam kontena dibantu

KUCHING, 6 JUN – Penderitaan hidup dua keluarga yang tinggal dalam kontena usang berhampiran estet perindustrian ringan di Jalan Kuap, Kota Padawan dekat sini sejak setahun lepas, mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang, hari ini.

Beliau yang melawat keluarga Marikan Abu Seman, 52, dan Nurul Syafiqah Bujang, 27, telah mengambil langkah untuk menempatkan mereka di sebuah rumah kedai di pekan Kota Sentosa, sementara menunggu Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC) mendapatkan rumah sewa.

“Saya akan menanggung kos menyewa sementara bilik rumah kedai itu, bagi didiami mereka sehinggalah pihak HDC dapat menyediakan rumah sewa, pada kadar kurang dari RM150 sebulan kepada kedua keluarga ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat kedua-dua keluarga itu.

Setakat ini beliau dimaklumkan kedua-dua keluarga terbabit ada menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak dan Tabung Baitulmal Sarawak, serta sumbangan dari Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak.

Sementara itu, Marikan berkata, beliau yang bekerja sebagai buruh kilang dengan bergaji harian antara RM20 dan RM50, terpaksa tinggal dalam kontena usang itu bersama-sama isteri, kerana tidak mampu untuk menyewa rumah. Sejak tinggal di dalam kontena itu Marikan berkata, mereka terpaksa menahan bahang panas pada waktu siang dan ada kalanya basah kesejukan, pada waktu hujan lebat.

“Saya amat berharap dapat menyewa rumah HDC sekitar RM150 sebulan, supaya hidup kami lebih selesa sedikit dan menjangkakan mampu membayar sewa terbabit, apabila bekerja sebagai pemotong rumput selepas ini,” katanya.

Nurul Syafiqah pula berkata, beliau bersama-sama suami dan dua orang anaknya yang masing-masingnya berusia setahun enam bulan dan empat tahun, terpaksa tinggal di kontena berkenaan sejak dihalau keluar dari sebuah rumah yang mereka sewa, kerana tidak mampu membayar sewanya. – Bernama