Dua kemalangan ragut dua jiwa

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Dua kes kemalangan berasingan yang mengorbankan dua jiwa, membawa kepiluan bulan Syawal tahun ini.

Kemalangan pertama yang berlaku pada 23 Mei di kawasan KM 28.2, Lebuh raya Lumut/Belait menghala ke Belait sekitar jam 6:27 telah meragut nyawa seorang perempuan penduduk tetap berumur 26 tahun.

Melalui siasatan awal Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), mangsa telah membuat perjalanan dari Bandar Seri Begawan menuju ke Kuala Belait bersama dua penumpang berusia tiga dan empat tahun.

Siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa tercampak keluar dari kenderaan yang dipandunya dan dipercayai kenderaannya terbabas ke sebatang pokok setelah hilang kawalan.

Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh doktor bertugas di Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait dipercayai akibat kecederaan yang teruk di bahagian kepala dan dada mangsa.

Kemalangan sebuah kenderaan yang berlaku di Kampung Kulapis baru-baru ini.
Kemalangan yang berlaku di Lebuh raya Lumut/Belait meragut nyawa seorang perempuan penduduk tetap.

Walau bagaimanapun, penumpang-penumpang selamat dan hanya mendapat kecederaan.

Manakala kejadian kedua yang berlaku pada 25 Mei melibatkan dua buah kenderaan di kawasan Kampung Kulapis, Daerah Brunei dan Muara sekitar jam 9:39 malam.

Mangsa yang terkorban merupakan seorang lelaki warga Indonesia berumur 39 tahun, dengan kenderaannya dipercayai terbabas ke bahu jalan dan bertembung dengan kenderaan dari arah bertentangan.

Mangsa segera dikejarkan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan telah disahkan meninggal dunia oleh doktor bertugas.

Siasatan awal pihak polis mendapati mangsa tidak memakai tali pinggang keselamatan semasa kemalangan namun punca kejadian kedua-dua kes kemalangan itu masih dalam siasatan.

PPDB menegaskan kepada para pengguna jalan raya agar sentiasa peka dengan had kelajuan kenderaan yang dipandu dan sentiasa menumpukan perhatian sepenuhnya di jalan raya dan kawasan persekitaran.

Semua pengguna jalan raya turut disarankan untuk mengambil perhatian dan sentiasa menitikberatkan akan kepentingan pemakaian tali pinggang keselamatan kerana ianya bertujuan untuk mengurangkan impak sebarang hentakan serta perkara yang tidak diingini jika terlibat dengan sebarang kemalangan.