Dua kes import baharu dicatat

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Negara Brunei Darussalam mencatatkan dua kes import baharu hari ini, di mana setakat 12 tengah hari tadi, jumlah keseluruhan kes adalah seramai 248 orang, manakala tiga kes dicatatkan sembuh, menjadikan kes aktif kepada enam kes.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan melalui siaran akhbar mengenai situasi terkini jangkitan COVID-19 di negara ini, kes 247 ialah seorang lelaki berumur 33 tahun yang tiba ke negara ini dari Indonesia.

Manakala, Kes 248 ialah seorang lelaki berumur 38 tahun yang tiba ke negara ini dari Kuala Lumpur.

Kedua-dua kes tersebut tiba di negara ini pada 28 Mei lalu dan tidak mempunyai sebarang tanda-tanda jangkitan.

Jelas kenyataan itu, penyiasatan dan pengesanan kontak mengesahkan tidak ada kontak terdekat bagi kedua-dua kes baharu itu memandangkan mereka telah dikuarantin sebaik saja tiba ke negara ini dan keseluruhan pengendalian perjalanan semasa ketibaan dan pengasingan diri mereka telah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada.

Kesemua kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan adalah dalam keadaan yang baik.

Kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 ialah pada 6 Mei 2020 (400 hari yang lalu), di mana jumlah kes import sejak kes jangkitan terakhir tempatan dilaporkan ialah sebanyak 107 kes.

Sementara itu, seramai 768 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori, manakala seramai 19,719 orang telah menamatkan pengasi-ngan diri mandatori sejak Mac 2020.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu pula, sebanyak 520 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 133,432 ujian.

Manakala itu, dalam perkembangan pemberian vaksin di negara ini, tambah kenyataan itu lagi, seramai 60,156 telah menerima suntikan dos vaksin sejak Program Vaksinasi Kebangsaan bagi COVID-19 diimplementasikan pada 3 April lalu.

Daripada jumlah tersebut setakat 9 Jun lalu, seramai 11,437 orang telah pun menerima dua dos lengkap, manakala 48,719 orang baru menerima dos pertama mereka.

Menurut kenyataan, Daerah Brunei dan Muara mencatatkan bilangan tertinggi pemberian vaksin iaitu 31,866 bagi dos pertama dan 9,324 bagi dos kedua, Daerah Belait berjumlah 6,679 bagi dos pertama dan 755 bagi dos kedua, Daerah Tutong berjumlah 6,939 bagi dos pertama dan 951 bagi dos kedua dan Daerah Temburong berjumlah 3,235 bagi dos pertama dan 407 bagi dos kedua.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth.