SEOUL, 9 Ogos – Korea Selatan dan Utara akan mengadakan perbincangan peringkat tertinggi minggu hadapan untuk mempersiapkan sidang kemuncak ketiga antara Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, menurut Seoul hari ini.
Meskipun kementerian penyatuan Korea Selatan tidak menjelaskan secara terperinci mengenai di mana sidang kemuncak itu bakal diadakan, Moon sebelum ini telah bersetuju untuk membuat perjumpaan dengan Kim di Pyongyang pada musim luruh selepas kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan bersejarah pada April lalu.
Dalam kenyataan itu, kementerian penyatuan berkata kedua-dua belah pihak akan mengadakan perbincangan pada peringkat tertinggi Isnin ini di kawasan utara kampung kedamaian sementara di Panmunjom untuk ‘membincangkan perkara-perkara mengenai persiapan bagi sidang Kemuncak Selatan-Utara’.
Menurut kementerian itu lagi, perjumpaan kedua-dua belah pihak itu dicadangkan oleh Pyongyang hari ini bagi ‘meninjau kemajuan’, sejak sidang kemuncak April lalu yang membuka jalan bagi pertemuan penting antara Kim dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Singapura Jun lepas.
Pertukaran rentas sempadan antara kedua-dua negara juga telah meningkat dengan ketara sejak itu, di mana kedua-duanya bersetuju untuk menyambung semula perjumpaan bagi keluarga yang terpisah semasa perang Korea, dijadualkan bertemu pada akhir bulan ini di kawasan peranginan di Gunung Kumgang, Korea Utara untuk pertama kalinya dalam masa tiga tahun.

Delegasi Korea Selatan pada mesyuarat Isnin ini akan diketuai oleh Menteri Penyatuan Cho Myoung-gyon, yang melawat Pyongyang bulan lalu untuk menghadiri pertandingan bola keranjang persahabatan antara kedua-dua Korea itu, kata kementerian tersebut.
“Kami akan mengadakan perbincangan mendalam dengan Utara demi kejayaan sidang kemuncak Utara-Selatan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Sidang kemuncak itu akan menjadi pertemuan ketiga antara Moon dan Kim tahun ini, selepas kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan mengejut pada Mei lalu.
Namun meskipun hubungan bertambah baik di antara kedua-dua negara tersebut, tidak banyak kemajuan dibuat ke atas gencatan senjata nuklear sepenuhnya oleh Pyongyang. – AFP