Dua lagi meninggal dunia akibat COVID-19

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Dua lagi kes yang disahkan positif COVID-19 di Negara Brunei Darussalam telah kembali ke rahmatullah, pada hari ini.

Kes pertama ialah seorang lelaki berumur 67 tahun yang merupakan Kes 1752 dan kes kedua ialah seorang lelaki berumur 59 tahun yang merupakan Kes 5196.

Kedua-dua kes tersebut mengalami masalah paru-paru setelah dijangkiti COVID-19, jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sehubungan dengan ini, demi menjaga kerahsiaan dan menghormati privasi keluarga kes-kes ini, Yang Berhormat Menteri Kesihatan tidak mengongsikan butiran peribadi kes.

“Orang ramai juga dipohonkan untuk sama-sama menghormati dan tidak menyebarkan maklumat-maklumat berkaitan dengan kes-kes tersebut,” pohon Yang Berhormat Dato.

“Di kesempatan ini, saya mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga kes-kes berkenaan. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama para solihin,” katanya lagi.

Sementara itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut mengongsikan bahawa siasatan bagi penyebab kematian berkaitan dua kes yang telah kembali ke rahmatullah sebelum ini telah selesai dilaksanakan.

“Penyebab kematian bagi Kes 3148 yang telah meninggal dunia pada 2 September telah disahkan dikategorikan sebagai kematian disebabkan COVID-19 manakala Kes 3264 yang telah meninggal dunia pada 4 September 2021 telah disahkan tidak dikategorikan sebagai kematian disebabkan COVID-19,” jelas Yang Berhormat Dato.