Dua lagi meninggal dunia

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Dua orang lagi pesakit disahkan positif COVID-19 di negara ini meninggal dunia hari ini, namun kedua-dua kes tidak dikategorikan sebagai kematian disebabkan jangkitan COVID-19.

Pesakit pertama ialah seorang lelaki berusia 68 tahun yang merupakan Kes 5304 dan kes kedua pula ialah lelaki berusia 58 tahun yang merupakan Kes 2495, yang mengalami beberapa masalah kesihatan dan tidak dikategorikan sebagai kematian COVID-19, jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada sidang media jangkitan COVID-19 di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Sehubungan dengan itu, demi menjaga kerahsiaan dan menghormati privasi keluarga kes-kes ini, Kementerian Kesihatan, tidak mengongsikan butiran peribadi kes, menurutnya.

“Orang ramai juga dipohonkan untuk sama-sama menghormati dan tidak menyebarkan maklumat-maklumat berkaitan dengan kes-kes tersebut,” pohon Yang Berhormat Dato.

“Di kesempatan ini, saya mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga kes-kes berkenaan.

“Semoga keluarga mendiang diberikan kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi pemergiannya dan roh kes dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama para salehin. Al-Fatihah,” katanya.