Dua lagi pemain terpilih jalani sesi latihan

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Penyerang Kasuka FC, Aisan Aizuddin Abdullah Aiman ​​dan penjaga gol Wijaya FC, Awangku Ashraf bin Pengiran Haledi menerima panggilan pertama mereka untuk latihan pasukan kebangsaan di Padang Bola Sepak Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) baru-baru ini.

Pemain-pemain Liga Super Brunei (BSL) itu melahirkan kegembiraan selepas menerima pengesahan panggilan daripada jurulatih walaupun kempen bola sepak masih tergendala berikutan dengan penularan wabak COVID-19 yang dialami seluruh dunia.

Awangku Ashraf dan Aisan Aizuddin disenarai pendekkan sebagai bakal pemain dalam skuad tersebut selepas NFABD memulakan usaha mereka untuk mengumpul pasukan kebangsaan yang berpotensi untuk diketengahkan.

“Ketika salah seorang jurulatih memberitahu saya tentang hal itu (dipanggil), saya terkejut tetapi pada masa yang sama saya merasa bangga kerana diberi peluang untuk mewakili negara yang merupakan tugas besar bagi saya,” kata Awangku Ashraf dalam temu bual dengan media selepas sesi latihan mereka di Padang Bola Sepak NFABD.

Awangku Ashraf, yang sebelumnya bermain untuk pasukan universiti yang berpusat di Cardiff, menerima berita mengenai panggilan tersebut daripada anggota pasukan bimbingan Wijaya FC sehari sebelum mereka bertemu untuk sesi latihan mereka.

Sementara seorang lagi pemain yang terpilih dari Kasuka, Aisan Aizuddin mendapat pengiktirafan menjadi antara barisan pemain senior selepas beberapa kali tampil dengan aksi yang mengagumkan dalam kumpulan bawah umur. Dia memulakan permainan dalam pasukan kebangsaan bawah-19 di mana dia beraksi dalam kelayakan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan kejohanan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) tahun lalu.

“Saya merasa sangat bangga dengan diri saya kerana masih muda untuk beraksi dalam skuad,” kata Aisan yang telah bermula dengan pasukan kebangsaan bawah 14 tahun.

“Jurulatih Kasuka menghantar pesanan ringkas dan mengucapkan tahniah kepada saya. Saya mendapat tahu bahawa saya dipanggil untuk pasukan kebangsaan dan agak tidak dijangka,” kata Aisan yang menerima panggilan sehari sebelum sesi latihan pertama.

Aisan Aizuddin ketika mengambil bahagian dalam latihan pasukan kebangsaan.