Dua lagi pesakit COVID-19 meninggal dunia

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Dua lagi kes yang telah disahkan positif COVID-19 meninggal dunia hari ini.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar berkata kes pertama ialah seorang lelaki berumur 77 tahun yang merupakan Kes 3495 yang telah mengalami masalah jangkitan darah (bacterial septicaemia) dan tidak dikategorikan sebagai kematian disebabkan jangkitan COVID-19.

“Manakala, kes kedua ialah seorang perempuan berumur 42 tahun yang merupakan Kes 2391. Kes tersebut telah mengalami masalah paru-paru setelah dijangkiti COVID-19 dan telah dimasukkan ke unit rawatan intensif, Pusat Pengasingan Kebangsaan kerana beliau memerlukan bantuan mesin pernafasan dan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO),” jelasnya pada sidang media di Kementerian Kesihatan hari ini.

Sehubungan itu, demi menjaga kerahsiaan dan menghormati privasi keluarga kes-kes berkenaan, Kementerian Kesihatan tidak akan mengongsikan butiran peribadi kes-kes tersebut.

Yang Berhormat Dato juga memohon kepada orang ramai untuk sama-sama menghormati dan tidak menyebarkan maklumat-maklumat berkaitan dengan kes-kes tersebut.

“Di kesempatan itu, saya mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga-keluarga kes berkenaan.

“Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama para salehin. Al-Fatihah,” tambah beliau.