Monday, October 7, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua lagi produk kosmetik tercemar

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jun – Dua lagi produk kosmetik iaitu Dnars Sunny Cream – Sensitif dan Glow Skin White French Technology (dikilangkan Ueropack Laboratories, PARIS, Perancis) telah didapati dicemari dengan bahan terlarang yang tidak diisytiharkan.

    Berikutan hasil ujian makmal Perkhidmatan Makmal Farmasi, Kementerian Kesihatan, kedua-dua produk berkenaan telah dicemari dengan Merkuri, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

    Menurut kenyataan itu lagi, bahan pencemar dalam produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

    Merkuri adalah bahan yang dilarang dalam produk kosmetik seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik) 2007.

    Penggunaan merkuri dalam produk kosmetik dilarang kerana ia boleh memudaratkan kesihatan. Tahap merkuri yang tinggi atau pendedahan yang kerap boleh menyebabkan kulit kebas, sakit kepala, ruam, perubahan warna kulit serta kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

    Glow Skin White French Technology.
    Glow Skin White French Technology.
    Dnars Sunny Cream – Sensitif.
    Dnars Sunny Cream – Sensitif.

    Anak damit dan kanak-kanak kecil boleh terdedah dengan kesan sampingan dari pengguna yang boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau anak damit yang belum dilahirkan.

    Kementerian Kesihatan menekankan bahawa kementerian tersebut tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan dan/atau mengeluarkan Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik bagi penjualan produk-produk tersebut. Berikutan dapatan ini, produk-produk berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

    Orang ramai yang telah membeli atau menggunakan produk-produk tersebut dinasihatkan untuk memberhentikan penggunaannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan buruk dan merasa tidak sihat selepas penggunaan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

    Orang ramai yang terlibat dalam penjualan produk-produk tersebut (termasuk penjualan secara online seperti melalui Facebook dan sebagainya) adalah diingatkan bahawa menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 untuk mengimport dan memasarkan produk kosmetik di pasaran tempatan tanpa Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di Kementerian Kesihatan dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi $5,000, penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    Kementerian Kesihatan juga memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada Perkhidmatan Peraturan-peraturan Kesihatan jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.

    Untuk maklumat dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Perkhidmatan Peraturan-peraturan Kesihatan melalui talian 2384182, menghantar e-mel kepada health.regulations@moh.gov.bn atau berjumpa terus pegawai penguatkuasaan di Perkhidmatan Peraturan-peraturan Kesihatan, Tingkat 1, Kementerian Kesihatan, Jalan Menteri Besar, Negara Brunei Darusalam.

    Orang ramai juga boleh menghubungi Talian Darussalam 123 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda