Dua lagi syarikat tempatan raih kontrak i-Usahawan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Dua buah lagi syarikat tempatan telah menandatangani kontrak dengan Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE), Kementerian Tenaga di bawah Program i-Usahawan, pada majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat JPE, hari ini.

Dengan penandatanganan kontrak bersama DKH General Contractor dan Fath-Briz Sdn Bhd itu, ia menjadikan tiga kontrak i-Usahawan yang dianugerahkan oleh JPE kepada syarikat-syarikat tempatan di bawah program tersebut.

Pada majlis itu, hadir menandatangani bagi pihak JPE bagi kedua-dua kontrak ialah Pemangku Pengarah Perkhidmatan Elektrik, Awang Abdul Aziz bin Abdullah. Bagi penandatanganan kontrak pertama dengan DKH General Contractor, menandatangani bagi syarikat tersebut ialah pemiliknya, Dayangku Siti Hafizah binti Pengiran Anak Rosledzana.

DKH General Contractor akan menyediakan perkhidmatan pengemasan bagi cawangan-cawangan JPE di Pusar Ulak, Sengkurong dan Bunut untuk tempoh tiga tahun di mana kontrak berkenaan menyediakan peluang pekerjaan bagi lima orang pembersih tempatan.

Pengarah Projek dan Penasihat DKH General Contractor, Pengiran Anak Rosledzana bin Pengiran Anak Omar Ali dalam temu bual ringkas bersama Media Permata selepas penandatanganan berkenaan menyatakan penghargaan kepada pihak Kementerian Tenaga dan JPE atas kepercayaan yang diberikan kepada syarikat berkenaan untuk menyediakan perkhidmatan pengemasan bagi cawangan-cawangan jabatan berkenaan.

Awang Abdul Aziz (dua dari kiri) dan Dayangku Siti Hafizah (dua dari kanan) menandatangani kontrak pada majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Jabatan Perkhidmatan Elektrik, kelmarin.

Beliau menambah bahawa pihak syarikat sedang menawarkan peluang pekerjaan kepada pencari-pencari kerja tempatan di mana syarikat berkenaan akan mengendalikan latihan bagi memastikan supaya perkhidmatan yang terbaik diberikan.

Beliau turut menyatakan bahawa syarikat berkenaan mempunyai perancangan untuk meneroka peluang-peluang baharu untuk mengembangkan lagi syarikat serta menawarkan perkhidmatan kepada pelbagai sektor.

Sementara itu, Fath-Briz Sdn Bhd pula diwakili oleh pemilik syarikat, Awang Mohammad Fadly bin Jais. Syarikat berkenaan akan menawarkan perkhidmatan memotong rumput dan penyelenggaraan bangunan di Tenaga Suria Brunei (TSB) bagi tempoh empat tahun di mana di bawah kontrak berkenaan, ia menyediakan peluang pekerjaan bagi enam orang pembersih dan pemotong rumput tempatan. Awang Mohammad Fadly dalam temu bual ringkas menyatakan perasaan syukur atas penganugerahan kontrak kepada syarikatnya di mana pihak kerajaan memberikan kepercayaan kepada syarikat untuk menyediakan perkhidmatan kepada JPE.

Pada masa yang sama juga, ia memberikan peluang kepada syarikat untuk menyediakan pekerjaan kepada anak-anak tempatan. Dengan adanya i-Usahawan, ulasnya lagi, ia memberikan peluang untuk meningkatkan perkhidmatan dan menambahkan pekerjaan kepada anak-anak tempatan. Pada masa ini, beliau berkata, syarikatnya mempunyai lima orang pekerja tempatan dan sedang berusaha untuk mendapatkan seorang lagi pekerja tempatan yang baharu.

Kedua-dua buah syarikat berkenaan telah menghadiri beberapa latihan PKS sebelum mengambil bahagian dalam tender berkenaan di mana antara latihan yang dihadiri ialah amalan kewangan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta pendidikan kewangan untuk usahawan yang dikendalikan oleh Darussalam Enterprise dan kursus mengenai pengenalan tender yang dikendalikan oleh JPE. Sejak penubuhannya pada 1 Ogos 2018 bersempena Hari Belia Kebangsaan ke-13, Program i-Usahawan telah mengenal pasti sebanyak 42 kontrak oleh kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLCs) dan badan-badan berkanun di mana 16 kontrak berkenaan telah dianugerahkan.

Dengan matlamat utama untuk menyediakan peluang-peluang perniagaan bagi usahawan belia yang berminat untuk mengambil bahagian dalam tender secara kompetitif untuk kontrak berisiko rendah, para usahawan yang berjaya dapat membangunkan dan meningkatkan kemahiran keusahawanan mereka menerusi sokongan mentor berterusan daripada pemegang kontrak sepanjang tempoh pelaksanaan kontrak.