Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Dua lari bawa barang tegahan, berjaya ditahan

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar serahan PPDB

    TEMBURONG, 11 JAN – Satu cubaan menyeludup barang tegahan berjaya dipatahkan apabila dua orang warga tempatan, masing-masing lelaki berusia 45 tahun dan wanita berusia 40 tahun ditahan dalam rondaan di Daerah Temburong awal pagi tadi.

    Menurut kenyataan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), kedua-dua mereka ditahan oleh anggota Balai Polis Bangar semasa rondaan pemantauan di kawasan penurunan perahu Kampung Ujung Jalan, Daerah Temburong sekitar 3:30 pagi tadi.

    Semasa pemantauan itu, pasukan peronda telah mengenal pasti sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan dan telah dikerah untuk bertindak membuat penahanan namun kenderaan tersebut telah memecut laju melarikan diri menghala Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS).

    Walau bagaimanapun, suspek telah berjaya ditahan dan semasa pemeriksaan awal, pihak polis berjaya menemui 30 karton minuman keras dan peket ketulan hablur yang dipercayai dadah bersama perkakas penyalahgunaan dadah.

    Kenderaan dan barang tegahan berserta kedua-dua suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Bangar bagi menjalani siasatan.

    Siasatan kes berkenaan telah diambil alih oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Biro Kawalan Narkotik (BKN) bagi tindakan selanjutnya.

    Kenyataan menegaskan, PPDB akan sentiasa mempertingkatkan pemantauan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan jenayah terutama sekali barang tegahan yang dibawa masuk ke negara ini secara seludup.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes jenayah atau perkara menyalahi undang-undang di negara ini disarankan agar dapat menyalurkan maklumat menerusi talian kecemasan polis 993.

    Kenderaan yang digunakan suspek dalam cubaan menyeludup barang tegahan di kawasan Ujung Jalan, Daerah Temburong.
    ATAS & BAWAH: Antara minuman keras dan peket ketulan hablur dipercayai dadah yang telah dirampas semasa rondaan di Kampung Ujung Jalan, Daerah Temburong.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...