Dua lelaki diberkas curi vas dinasti Ming AS$3.3 juta

LONDON, 25 OKT – Polis Britain berkata mereka telah menemui sebuah jambangan Cina abad ke-15 bernilai 2.5 juta pound (AS$3.3 juta) yang dicuri di Switzerland pada tahun lalu.

Pasukan polis Metropolitan berkata mereka telah memberkas dua lelaki berhubung kecurian vas dinasti Ming. Ia dipercayai telah dicuri dari koleksi Swiss pada Jun 2019 oleh geng jenayah terancang yang berpangkalan di London.

Suspek, berusia 44 dan 42 tahun, ditahan di kawasan Mayfair London pada minggu lalu kerana disyaki mengendali barangan curi. Mereka telah dibebaskan dengan ikat jamin sehingga pertengahan November.

“Ia merupakan kejayaan besar dalam siasatan kompleks berhubung rompakan bernilai itu,” kata Ketua Inspektor Jimi Tele dari unit jenayah khas.

Terdapat pasaran haram yang menguntungkan untuk barang antik Cina yang dicuri, dan berlakunya beberapa kecurian dalam beberapa tahun ini, termasuk beberapa siri rompakan di muzium dan firma pelelongan Britain yang lesap dengan mangkuk jed, anak patung dan barangan lain bernilai jutaan dolar.

Polis Britain berkata vas itu akan dikembalikan semula ke Switzerland. – AP

Gambar yang dikeluarkan oleh polis Metropolitan menunjukkan vas Dinasti Ming abad ke-15 yang berjaya ditemui oleh Polis Metropolitan semasa operasi Jenayah Khas. – AP