Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 April – Seorang lelaki tempatan yang memiliki rokok seludup dijatuhi hukuman denda $2,200 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini.
Majistret Kanan Azrimah binti Haji Abdul Rahman menjatuhkan denda itu terhadap Mohamad Ghafur bin Haji Marali, 34, kerana memiliki lima karton dan 23 paket rokok pelbagai jenis di flat Kampung Anggerak Desa, pada 24 Ogos 2015.
Perbuatannya menyimpan rokok-rokok tanpa permit itu diketahui oleh pegawai pencegah kastam yang membuat pemeriksaan di flat tersebut.
Dia diberi tempoh sehingga 31 Julai 2017 untuk membayar denda itu atau berdepan dua bulan penjara jika gagal.
Dalam bilik mahkamah yang sama, seorang lagi lelaki tempatan turut dijatuhi hukuman denda $1,000 kerana memiliki 14 botol arak tanpa permit daripada pihak kastam.
Ang Eng Kim @ Ang Ah Hui, 55, mengaku bersalah memiliki minuman keras itu di dalam keretanya ketika berada di Jalan 2, Perpindahan Lambak Kanan pada 23 Januari 2017.
Dia membayar $600 hari ini manakala selebihnya $400 lagi diarahkan untuk membayar sebelum 14 Jun 2017.
Jika gagal membayar, dia diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara selama sebulan.