Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 April – Dua lelaki telah dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan mencuri.
Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Muhammad Fakhruddin bin Musli, 23, dan Mohammad Sofrezam bin Lamat, 47, yang mencuri dua bateri daripada lori-lori yang diletakkan di luar premis sebuah syarikat di Bangunan Perindustrian Parkland, Mulaut pada 10 malam, 15 Mac 2019.
Fakta kes yang dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raihan Nabilah Ahmad Ghazali menjelaskan bahawa laporan telah dibuat oleh seorang pekerja syarikat yang mendapati bateri-bateri berkenaan hilang.
Siasatan polis disokong dengan petikan CCTV daripada kamera premis syarikat tersebut yang menunjukkan perbuatan defendan-defendan berkenaan.





























