SYDNEY, 9 NOV – Polis Australia hari ini telah menahan dua lelaki berhubung kejadian tembakan di Mid North Coast, New South Wales (NSW), lapor Xinhua.
Menurut kenyataan Polis NSW, polis menerima laporan pada 1:40 pagi waktu tempatan mengenai insiden tembakan di Lebuhraya M1 di Coopernook membabitkan sebuah kenderaan Landcruiser dan trak pikap jenis Mercedes.
Dalam kejadian itu, pemandu Landcruiser terkena tembakan di lengan.
Tiga jam kemudian, lebih banyak insiden tembakan dilaporkan membabitkan trak pikap yang sama di Lebuhraya M1 di Hatch.
Sementara itu, pada jam 5:15 pagi waktu tempatan, tembakan dilepaskan ke arah sebuah lagi kenderaan di M1 di Kundabung dan sejurus kemudian, tembakan turut dilepaskan ke arah kenderaan polis berhampiran Fernbank Creek Road di Port Macquarie.
Trak pikap itu kemudiannya dijumpai ditinggalkan di Taman Wayne Richards di Port Macquarie pada 10:30 pagi waktu tempatan dan telah dibawa untuk pemeriksaan forensik.
Hasil siasatan lanjut oleh polis membawa kepada penahanan dua lelaki berusia 26 dan 32 tahun di belakang Geoffrey Debenham Street di Kempsey pada 3:15 petang waktu tempatan.
Pemangku Timbalan Komisioner Polis NSW, Asisten Komisioner Scott Tanner berkata satu mayat ditemukan berhampiran satu daripada empat lokasi kejadian tembakan.
“Seorang lelaki ditemukan mati di tepi jalan di Jalan Fernbank Creek. Kami tidak tahu sama ada kematiannya mempunyai kaitan dengan kejadian itu,” katanya dalam satu sidang media hari ini. – Bernama