Dua lelaki terlibat kes pecah masuk ditahan

LABUAN, 14 JAN – Polis Labuan menahan dua lelaki yang percayai terlibat dalam kes pecah masuk di pulau bebas cukai ini dan menemukan semula barangan yang dicuri bernilai kira-kira RM24,667 minggu lepas.

Ketua Polis Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad berkata seorang lelaki tempatan berusia 29 yang menjadi dalang dan rakannya berusia 23 tahun ditahan dan mereka yang bekerja di sebuah kedai perkakasan dipercayai terlibat dalam enam kes pecah masuk sekitar pulau ini.

“Siasatan mendapati lelaki yang menjadi dalang itu merupakan bekas tahanan Sekolah Hendry Gurney dan mempunyai kesalahan lampau di bawah Seksyen 376 dan 376A Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di sini.

Farid berkata lelaki pertama ditangkap pada 8 Januari manakala lelaki kedua ditangkap sehari selepas itu hasil maklumat daripada orang ramai.

Katanya antara barangan curi yang ditemukan termasuk wang tunai RM10,667, dua televisyen, set gerudi, mesin pencetak, rantai dan cincin emas dan iPad jenama Apple.

Beliau berkata polis juga merampas kereta yang digunakan bagi menjalankan kegiatan itu. – Bernama