Dua mati ditembak curi penutup mulut dan hidung

JOHANNESBURG, 19 JULAI – Dua individu mati ditembak di lapangan terbang Johannesburg di Afrika Selatan semalam selepas berlaku tembak menembak antara polis dan pencuri penutup mulut dan hidung.

Afrika Selatan kini mencatatkan jangkitan COVID-19 tertinggi di benua itu dengan lebih 350,000 kes jangkitan termasuk hampir 5,000 kematian selain mempunyai kadar jenayah antara yang tertinggi di dunia.

Pihak polis berkata sekumpulan suspek memasuki kawasan kargo Lapangan Terbang OR Tambo dan mengugut mangsa menggunakan pistol di salah sebuah gudang di situ.

“Ini diikuti adegan kejar-mengejar menggunakan kenderaan dan tembak- menembak, yang menyebabkan dua suspek ditembak mati manakala tujuh yang lain ditahan. “Seorang Individu lain cedera akibat terkena peluru sesat manakala polis menemui penutup mulut dan hidung yang dicuri serta tiga kotak mengandungi telefon bimbit,” katanya. – AFP