YANGON, 20 FEB – Sekurang-kurangnya dua orang maut dalam rempuhan di luar pejabat pasport di Myanmar kelmarin, kata seorang pekerja penyelamat, ketika beribu-ribu orang bergegas meninggalkan negara itu untuk melarikan diri dari undang-undang perkhidmatan tentera Junta.
Dua orang wanita berusia 52 dan 39 tahun meninggal dunia kelmarin selepas ratusan orang beratur di pejabat pasport di bandar kedua Mandalay, kata seorang pekerja penyelamat yang tiba di tempat kejadian kepada AFP.
“Terdapat parit berhampiran orang ramai. Mereka terjatuh ke dalam parit dan mati akibat kekurangan oksigen,” kata pegawai penyelamat itu, yang enggan dikenali atas sebab keselamatan.
Seorang lagi wanita mengalami cedera ringan, kata pegawai itu, sambil menambah ketiga-tiga mereka merupakan penjual token yang memberikan nombor dalam barisan itu.
Tiga tahun selepas rampasan kuasa, junta sedang bergelut untuk menumpaskan penentangan bersenjata yang meluas terhadap pemerintahannya.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini ia telah kehilangan wilayah dan kawalan laluan perdagangan yang menguntungkan ke China kepada pakatan kumpulan bersenjata etnik minoriti.
Awal bulan ini ia berkata akan menguatkuasakan undang-undang yang membenarkannya untuk memanggil semua lelaki berumur 18 hingga 35 dan wanita berumur 18 hingga 27 untuk berkhidmat dalam tentera sekurang-kurangnya dua tahun. – AFP