Thursday, April 25, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Dua maut, 120 cedera dalam letupan gas

    ABU DHABI, 24 MEI – Polis mengesahkan dua mangsa terkorban, manakala 120 lagi cedera dalam letupan silinder gas di sebuah restoran di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.

    Menurut laporan awal polis di Twitter, daripada 120 yang cedera, 64 mangsa mengalami kecederaan ringan, 56 kecederaan biasa, manakala dua lagi meninggal dunia.

    Polis berkata letupan turut menyebabkan kebakaran dan merosakkan bahagian permukaan enam bangunan serta beberapa stor sebelum api berjaya dikawal.

    “Mangsa dari empat bangunan yang rosak selamat dipindahkan, dengan usaha sedang dijalankan untuk mencari kediaman sementara bagi penduduk,” katanya.

    Sementara itu, beberapa keping gambar diedarkan polis Abu Dhabi menunjukkan pasukan keselamatan merawat mangsa, selain terdapat serpihan serta kaca yang pecah bertaburan di atas jalan.

    Seorang saksi pula memberitahu akhbar nasional bahawa dirinya terdengar letupan pada waktu tengah hari.

    “Letupan pertama lebih perlahan bunyinya dan orang ramai mula menghubungi polis serta bomba.

    “Kemudian ia disusuli dengan letupan lebih kuat sehingga menggegarkan tingkap dan beberapa pejabat, malah kaca yang pecah juga bertaburan,” katanya yang enggan dikenali. – AFP

    Gambar serahan polis Abu Dhabi menunjukkan serpihan dan kaca bertaburan di jalan selepas letupan di daerah Khalidiya, Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu pada 23 Mei 2022. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 remaja ditahan dalam serbuan antikeganasan

    SYDNEY, 24 APRIL - Polis Australia memberkas tujuh remaja dalam serbuan antikeganasan hari ini, dengan dakwaan rangkaian itu mungkin merancang serangan dan menimbulkan ‘risiko...