LAGOS, 10 JULAI – Dua maut dan 14 lagi hilang selepas bot penumpang terbalik di bandar komersial Nigeria, Lagos, menurut pegawai kecemasan hari ini.
“Seramai 16 penumpang menaiki bot berkenaan semasa kejadian tersebut,” menurut Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan (NEMA), Ibrahim Farinloye kepada AFP, Jumaat lalu.
“Dua mayat berjaya dijumpai semalam, ketika pencarian masih lagi dijalankan untuk mencari penumpang lain,” katanya.
Pihak Berkuasa Waterways Kerajaan Lagos (LASWA) juga mengesahkan mengenai kemalangan tersebut.
“Bot penumpang fiber W19 membawa seramai 16 penumpang telah terbalik di kawasan Ojo di negara tersebut,” kata Pengurus kawasan LASWA, Sarat Braimah.
“Bot tersebut melanggar peraturan jalan perairan kerana melakukan perjalanan lewat ketika ia berlepas pada 7:45 petang,” katanya.
Braimah berkata ombak telah mendorong bot tersebut merempuh sesuatu dan mengakibatkan ia terbalik.
Penumpang, termasuk kanak-kanak yang menaiki bot tersebut tidak memakai jaket keselamatan.
Beliau berkata anggota penyelamat dikejarkan dengan serta-merta ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan, sementara itu pencarian masih lagi dijalankan bagi mengesan mangsa kemalangan.
Sementara itu, kejadian kemalangan bot adalah sesuatu yang sering terjadi di perairan Nigeria, yang disebabkan oleh persekitaran yang sesak dan penyelenggaraan yang teruk, terutamanya ketika musim hujan.
Dua telah maut dan 15 berjaya diselamatkan pada Rabu lalu apabila bot mereka terbalik di kawasan bandar Ikorodu. – AFP