Dua maut akibat letupan di telaga minyak

TINSUKIA, INDIA, 10 JUN – Dua pekerja ditemui maut dekat tapak kebakaran besar yang dicetuskan oleh gas bocor di telaga minyak di India selama dua minggu, kata pegawai hari ini.

Api marak dan asap berterusan bergejolak di ruang udara sehari selepas gas itu mencetuskan letupan di telaga Oil India milik kerajaan di negeri Assam.

“Malangnya, kami telah kehilangan dua pekerja minyak yang berdedikasi semasa menjalankan tugas. Mayat mereka telah ditemui dari kolam berhampiran,” kata jurucakap Oil India, Tridiv Hazarika kepada AFP.

Hazarika berkata lelaki tersebut merupakan kakitangan Oil India yang beroperasi di tapak itu sebagai anggota bomba syarikat dan kelihatannya telah melompat ke dalam air ketika letupan yang berlaku kelmarin.

Anggota bomba lain turut mengalami kecederaan.

Tentera dan kakitangan petugas bencana kebangsaan bersama sekitar 200 jurutera dan pekerja – termasuk pakar-pakar dari Singapura – berusaha membendung kebocoran selama empat minggu itu, kata Oil India.

Ketua Menteri Assam, Sarbananda Sonowal berkata dia telah memaklumkan Perdana Menteri India, Narendra Modi mengenai situasi tersebut. – AFP