STOCKHOLM, 22 SEPT – Dua individu telah terbunuh dan dua lagi cedera dalam satu insiden tembakan di sebuah pub di barat laut Stockholm, menurut pihak polis setempat hari ini. Kejadian itu merupakan episod keganasan maut terkini yang berlaku di Sweden.
Dalam satu kenyataan, pihak polis menyatakan seorang lelaki berusia 20an dan seorang lagi berusia 70an telah meninggal dunia hari ini akibat luka yang dialami dalam kejadian tembakan yang berlaku lewat kelmarin di sebuah pub di Sandviken, kira-kira 162 kilometer di barat laut Stockholm.
“Kami mengesyaki seorang individu telah menjadi sasaran manakala tiga yang lain berada di tempat kejadian atas pelbagai sebab, tanpa kaitan dengan insiden tersebut,” kata jurucakap Magnus Jansson Klarin, kepada agensi berita Sweden, TT.
Tambahnya, individu yang disyaki menjadi sasaran adalah antara dua yang telah meninggal dunia. Tiada tangkapan dibuat, kata polis. Tidak diketahui sama ada yang lain adalah pelanggan atau pekerja pub.
Pub tersebut telah mengumumkan melalui laman Facebooknya bahawa ia akan menutup operasi sehingga hujung minggu.
Masalah antara geng jenayah di Sweden semakin meruncing dengan peningkatan jumlah tembakan, letupan bom dan serangan bom tangan. Sehingga tahun ini, terdapat 261 tembakan, 36 kematian dan 73 cedera dilaporkan.
Pada awal bulan ini, seorang budak lelaki berusia 13 tahun ditemui mati dengan luka tembakan di kepalanya di hutan berhampiran kediamannya di Stockholm. Timbalan Pendakwa, Lisa dos Santos berkata kelmarin kematian budak itu merupakan contoh yang menakutkan berkaitan ‘keganasan geng yang serius dan tidak bertanggungjawab.’
Keganasan itu dilaporkan susulan pertelingkahan mengenai dadah dan senjata antara dua kumpulan, diketuai oleh dua lelaki Turki-Sweden yang tinggal di Turki dan bekas leftenannya. – AP