Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Dua maut dalam kebakaran lima rumah di Tawau

    TAWAU, 12 JUN – Dua wanita maut dalam kebakaran yang memusnahkan lima rumah di Kampung Titingan, Jalan Tawau Lama di sini tengah malam tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Julius John Stephen Jr berkata mayat Kamisah Mapiasah dan Sadiah Jabar ditemukan dalam sebuah rumah jenis dua tingkat. 

    “Sepasukan 19 pegawai dan anggota bomba bersama dua jentera bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 12:53 tengah malam,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Beliau berkata operasi pemadaman yang tamat sepenuhnya pada 3 pagi turut dibantu anggota Bomba Komuniti Sri Titingan. Katanya punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat.

    Sementara itu, Irwan Mapiasah melahirkan rasa sedih namun pasrah apabila ibu dan kakaknya rentung selepas gagal diselamatkan dalam insiden itu. 

    Irwan, 42, berkata ibunya Sadiah, 80, ditemukan dalam keadaan tertiarap di depan pintu utama manakala kakaknya Kamisah, 49, di katil sebuah bilik. 

    “Ketika kejadian, saya berada di rumah sendiri bersama isteri serta tujuh anak berumur antara lima hingga 15 tahun sementara ibu serta dua anak saudara dan kakak pula tinggal di sebelah rumah kami. 

    “Saya ketika itu sedang bermain permainan video… tiba-tiba lampu rumah berkelip-kelip, saya tanya kepada isteri dan pada waktu sama, adik yang berada di rumah sebelah berteriak meminta tolong, saya tengok melalui tingkap api sudah marak,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

    Terkejut dengan kejadian itu, Irwan mengarahkan isterinya mengejutkan anak mereka dan berlari keluar rumah untuk menyelamatkan diri. 

    “Saya terus berlari ke rumah ibu untuk menyelamatkannya, saya dengar suara mereka minta tolong, beberapa kali saya cuba meredah api untuk masuk ke rumah ibu tapi saya gagal, kayu jatuh dengan api kuat. Dua anak saudara saya berjaya keluar menyelamatkan diri,” katanya. 

    Dalam pada itu, Irwan yang melecur di lengan kiri ketika cuba menyelamat ahli keluarganya tetap bersyukur kerana yang masih selamat.

    “Bagaimanapun, kami reda dengan kejadian ini serta menganggap ia adalah takdir dan ketentuan Ilahi,” katanya sambil menambah jenazah kedua-dua mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 3 selepas urusan tuntutan mayat selesai. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...