Dua maut dalam kejadian kemalangan berasingan

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – Siasatan telah dijalankan bagi mencari punca kemalangan jalan raya yang telah meragut dua jiwa iaitu seorang lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan yang maut dalam kejadian berasingan hari ini dan malam kelmarin.

Pada kejadian di kawasan Jalan Mulaut berdekatan Sekolah Rendah Mulaut, sekitar jam 10:01 pagi ini, penguat kuasa mendapati seorang wanita berusia 47 tahun terkorban apabila kereta dinaikinya berlanggar dengan sebuah treler kuning dengan nombor plat pendaftaran luar negara.

Menurut paramedik yang bertugas, mangsa didapati tidak sedarkan diri akibat rempuhan tersebut dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian setelah diperiksa.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) menerusi Balai Bomba Jerudong yang menerima panggilan kecemasan sekitar jam 9:55 pagi telah berkejar ke tempat kejadian bersama tiga buah jentera dan 11 anggota yang diketuai oleh DSO Misli bin Haji Pungut.

Sejurus tiba, anggota bomba segera bertindak dengan membuka kepala bateri kereta SUV tersebut menggunakan crow bar dan bolt cutter. Pemandu treler iaitu seorang lelaki warga asing tidak mendapat sebarang kecederaan manakala mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kereta SUV dipandunya.

Pelanggaran membabitkan kereta dan treler di kawasan Jalan Mulaut telah meragut nyawa seorang wanita tempatan.
Seorang warga asing meninggal dunia di lokasi nahas sebelum terowong pusing keliling.

Kes kemalangan ini seterusnya diserahkan kepada Balai Polis Sengkurong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan pihak ambulan untuk tindakan selanjutnya.

Menurut laporan daripada pihak polis, mangsa telah dikejarkan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) bagi menjalani pemeriksaan punca kematian yang sebahagiannya disebabkan pelbagai kecederaan semasa kemalangan berlaku, bagaimanapun punca kemalangan masih dalam siasatan.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan malam kelmarin, seorang lelaki maut di tempat kejadian setelah terlibat dengan satu kemalangan dengan sebuah kereta yang berlaku di kawasan sebelum terowong, pusing keliling Jame’ Asr Hassanil Bolkiah, Lebuh raya Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di sini.

Balai Polis Pusat, PPDB mengesahkan kemalangan tersebut melalui panggilan kecemasan yang telah diterima pada 25 Januari sekitar jam 10:36 malam yang memaklumkan sebuah kereta telah melanggar seorang lelaki.

Hasil siasatan awal mendapati, mangsa yang maut merupakan seorang lelaki warganegara asing berumur 43 tahun dan ditemui dalam keadaan terbaring di jalan raya dengan tidak sedarkan diri, manakala, pemandu kereta tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pihak paramedik di lokasi itu telah mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital RIPAS bagi menjalankan siasatan terperinci bagi mengetahui punca kejadian kemalangan sebenar.

Dalam pada itu, PPDB menegaskan kepada pengguna jalan raya agar sentiasa peka dan menumpukan perhatian sepenuhnya semasa memandu terutama ketika hendak keluar atau masuk ke persimpangan jalan.

Di samping itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa memakai tali pinggang keselamatan bagi meningkatkan tahap keselamatan ketika memandu jika terlibat dengan sebarang kemalangan.

Sementara itu, JBP turut menyarankan kepada orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang di jalan raya dan berhati-hati semasa memandu serta tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

Selain itu, pemandu juga dinasihatkan memandu dalam keadaan sihat atau tidak mengantuk dan tidak mengambil, meminum mana-mana minuman memabukkan yang boleh menyebabkan kemalangan jalan raya.

JBP turut mengingatkan untuk sentiasa membuat pemeriksaan kereta di bengkel-bengkel yang mahir dan bertauliah bagi mengelakkan perkara tidak diingini daripada berlaku dan sentiasa berhati-hati semasa memandu terutama semasa atau selepas hujan kerana dikhuatiri jalan raya akan menjadi licin.

Jika berlaku sebarang insiden kecemasan hubungi talian kecemasan 995 dan memberi maklumat yang tepat.