Dua maut kereta api bertembung

PRAGUE, 8 JULAI – Sekurang-kurangnya dua individu maut manakala puluhan lagi cedera apabila dua kereta api bertembung berhampiran bandar barat Republik Czech, Karlovy Vary hari ini, kata jurucakap operator kereta api.

Gambar yang dikeluarkan oleh polis menunjukkan kabin kedua-dua pemandu musnah tetapi kereta api tidak tergelincir.

“Dua orang terbunuh dan kira-kira 20 yang lain cedera,” kata Radka Pistoriusova, jurucakap operator kereta api Sprava zeleznic, kepada AFP.

Jurucakap perkhidmatan penyelamat Radek Hes memberitahu AFP dua orang telah mati di tempat kejadian. Beberapa penumpang mengalami kecederaan serius, menurut media tempatan.

Kemalangan berlaku di landasan di antara kampung Pernink dan Karlovy Vary, kira-kira 120 kilometer di barat Prague dan berhampiran sempadan Jerman, pada kira-kira 1300 GMT.

Agensi berita Czech CTK berkata sebuah kereta api dari Karlovy Vary ke Johanngeorgenstadt di Jerman merempuh sebuah kereta api yang datang dari arah bertentangan. – AFP