Dua maut kilang bunga api meletup

ANKARA, TURKI, 3 JULAI – Satu letupan di sebuah kilang bunga api di barat laut Turki hari ini membunuh dua orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 73 yang lain, kata pegawai.

Terdapat kira-kira 150 pekerja di kilang yang terletak di luar bandar Hendek, wilayah Sakarya, beritahu Gabenor Cetin Oktay Kaldirim kepada agensi Anadolu.

Dua orang terbunuh dalam letupan sementara 73 yang lain dimasukkan ke hospital dengan luka kecederaan, kata Menteri Kesihatan Fahretti Koca di Twitter.

Beliau berkata 85 buah ambulans, dua ambulans udara dan 11 pasukan menyelamat dihantar ke kawasan itu.

Beberapa kumpulan bomba juga dihantar ke kilang berkenaan, yang terletak jauh dari kawasan perumahan.

Usaha untuk mengawal kebakaran dihambat oleh letupan berterusan, menurut laporan. Punca letupan masih tidak diketahui. Sebelum itu, video televisyen menunjukkan asap tebal berbentuk cendawan berkepul-kepul naik dari kilang tersebut.

Televisyen HaberTurk berkata pihak berkuasa telah menyekat jalan menuju ke kilang. Keluarga bergegas ke tapak ki-lang untuk mendapatkan berita tentang saudara mereka. – AP

Asap berkepul-kepul naik ke udara selepas satu letupan di kilang bunga api di luar bandar Hendek, wilayah Sukarya, Turki kelmarin. – AP