Dua maut ribut Faxai landa Tokyo

TOKYO, 9 SEPT – Satu taufan kuat yang melanda Tokyo semalaman dengan angin kencang membunuh dua orang, kata polis hari ini, apabila pembatalan kereta api mencetuskan gangguan perjalanan dan lebih daripada 100 penerbangan dibatalkan, meninggalkan ribuan penumpang terkandas di lapangan terbang.

Taufan Faxai, membawa angin dengan kelajuan 207 kilometer sejam, mendarat di Chiba di timur ibu negara sejurus sebelum subuh, setelah bergerak melalui Teluk Tokyo.

Gangguan pengangkutan berpunca daripada ribut berlaku kurang dua minggu sebelum bermulanya Piala Ragbi Dunia, dan menangguh ketibaan pasukan Australia, satu peringatan bahawa musim taufan Jepun mungkin menimbulkan cabaran kepada penganjur.

Polis mengesahkan dua orang terkorban dalam ribut – seorang wanita dalam umur lima puluhan ditemui mati di Tokyo dan seorang lelaki tua di wilayah Chiba.

Gambar kamera keselamatan menunjukkan angin kencang menolaknya di jalan raya dan ke dinding, sementara lelaki berusia 87 tahun itu ditemui maut dalam belukar di bawah sebatang pokok tumbang.

Ribut mencederakan lebih daripada 30 orang, termasuk seorang wanita yang mengalami kecederaan serius selepas angin kencang menyebabkan struktur jaringan pelindung di padang golf tumbang menghempap rumah berhampiran.

Arahan pemindahan tidak wajib telah dikeluarkan kepada ratusan ribu penduduk dan pihak berkuasa berkata lebih daripada 2,000 orang telah mendapatkan perlindungan di pusat perlindungan.

Angin kencang menumbangkan pokok-pokok dan talian elektrik. Hampir 760,000 keluarga masih tidak mempunyai bekalan elektrik di kawasan Tokyo pada petang ini. – AFP

Seorang pegawai polis memeriksa tiang elektrik yang tumbang akibat angin daripada Taufan Faxai di Kamakura, wilayah Kanagawa, kelmarin. – AFP