Dua mayat pendaki gunung yang hilang ditemui

KATHMANDU, 26 APRIL – Dua mayat dipercayai warga Korea Selatan yang hilang selepas terlibat kemalangan dalam runtuhan Himalaya pada Januari telah ditemui, kata para pegawai hari ini, sehari selepas menemui mayat malim gunung warga Nepal.

Bongkah salji jatuh menimpa kawasan laluan pendakian pada kira-kira 3,230 meter dekat kem pangkalan Annapurna di Nepal pada 17 Januari, menguburkan empat warga Korea Selatan dan tiga penduduk tempatan.

Semakin banyak runtuhan salji berlaku sejak itu yang menjadikan ia berbahaya untuk melancarkan pencarian. Polis kembali ke tempat tersebut pada Jumaat selepas salji mencair menunjukkan bungkusan.

“Pasukan penyelamat yang menggunakan helikopter tentera cuba untuk membawa dua mayat dari tapak runtuhan di mana kami menemuinya pada Sabtu,” kata ketua polis daerah Kaski, Dan Bahadur Karki memberitahu AFP.

“Kedua-dua mayat itu belum dikenal pasti namun ia mungkin warga Korea Selatan disebabkan mayat-mayat itu telah ditemui di tempat sama mereka dikatakan hilang.”

Mayat malim gunung Nepal ditemui pada Jumaat. Mayat seorang lagi malim gunung, yang bekerja bagi pasukan Cina, juga ditemui sebulan sebelumnya. – AFP

Gambar yang diambil pada 22 Januari 2020 menunjukkan sebuah helikopter terbang membawa pasukan penyelamat di hadapan banjaran gunung Annapurna, di Pokhara, 200km barat Kathmandu. – AFP