Dua menang pakej ke Bangkok

Oleh Ak Zaki Kasharan

Gambar oleh Bahyiah Bakir

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Awang Mohd Syazwan dan Awang Abdul Muazzam bin Haji Abdul Malik ternyata bertuah apabila memenangi hadiah utama Kempen Nissan Sawadee yang bermula 1 Januari sehingga 29 Februari lalu.

Pemenang masing-masing memenangi pakej pelancongan lima hari empat malam ke Bangkok untuk dua orang, pada majlis penyampaian hadiah di bilik pameran Boustead hari ini.

Kedua-duanya akan berpeluang menerokai keindahan kawasan peranginan Pattaya dan pasar terkenal Chatuchak serta membeli-belah di kompleks membeli-belah terkenal di Thailand yang mana kos penginapan, tiket penerbangan dan pengangkutan ke tempat-tempat dilawati dibiayai sepenuhnya oleh Boustead.

Mereka merupakan antara pelanggan yang membeli kenderaan Nissan kecuali Nissan GTR dalam tempoh dianjurkan oleh pengedar tunggal kenderaan itu, Boustead Sdn Bhd.

Hadir menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Pengurus Jualan Nissan, Haji Shahrum bin Haji Jaafar.

Boustead turut menyajikan pelbagai juadah makanan dan minuman ala Thailand kepada para pelanggan yang hadir pada majlis cabutan tersebut.

ATAS & BAWAH : Dua pemenang Kempen Nissan Sawadee menerima hadiah yang disampaikan oleh Haji Shahrum.