Dua minggu tanpa kes baharu

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MEI – Negara Brunei Darussalam pada hari ini mencatatkan 14 hari (dua minggu) tanpa kes baharu jangkitan COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kekal seramai 138 orang.

Sementara itu, dua kes telah disahkan sembuh daripada COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan yang telah sembuh kepada 128 orang dan jumlah kes aktif yang masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan pada ketika ini kepada sembilan kes.

Daripada jumlah tersebut, dua daripadanya masih dalam keadaan kritikal dan kedua-duanya masih memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) di samping bantuan mesin pernafasan, manakala selebihnya dalam keadaan yang baik.

Perkara tersebut telah dikemas kini oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Pada hari ini juga, seramai 33 orang masih menjalani kuarantin menurut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 manakala jumlah keseluruhan mereka yang telah menamatkan tempoh kuarantin ialah seramai 2,542 orang,” kongsi Yang Berhormat Menteri
Kesihatan.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan, kelmarin. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manaf bin Othman.

Menurut beliau, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 338 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 14,262 ujian.

Mengenai kes yang telah sembuh tetapi didapati positif semasa pemeriksaan susulan, Yang Berhormat Dato memaklumkan bahawa tidak ada kes sedemikian disahkan pada hari ini, manakala empat kes telah dibenarkan pulang.

“Ini membawa jumlah keseluruhan kes yang sedemikian pada masa ini seramai 22 orang di mana dua orang masih menjalani pemeriksaan dan ujian lanjut,” jelasnya.

Pada sidang media tersebut, Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut menekankan dan mengingatkan orang ramai untuk terus melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing dan membudayakan langkah-langkah pencegahan ketika membuat pembelian di restoran-restoran, gedung-gedung perniagaan, pasar-pasar dan kedai-kedai runcit.

“Terutama sekali untuk sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal (physical distancing) seperti yang disarankan dan tidak beramai-ramai mengunjungi ke satu tempat,” katanya.

Di samping itu, para pemilik penia-gaan serta restoran juga disyorkan untuk mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mengelak situasi perhimpunan ramai di tempat atau sekitar premis penjualan.

“Kita masih memerlukan kerjasama orang ramai untuk terus berjaga-jaga dengan mengamalkan apa yang telah disarankan sebelum ini,” tekan Yang Berhormat Dato.

Menurutnya, perkara tersebut adalah penting untuk diambil perhatian kerana dengan kerjasama daripada semua pihak serta sikap tanggungjawab dan disiplin orang ramai sajalah negara akan dapat mula mengurangkan sekatan atau membuat de-escalation pada masa yang akan ditentukan nanti.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.